Sunday 14 February 2016

SAYA SEORANG JURURAWAT

Gambar dari Google

Assalamualaikum semua. Bertemu lagi kita di entri kali ini.

Dulu semasa di sekolah rendah, guru kelas saya akan bertanya tiga cita-cita kepada murid-murid untuk di isi dalam satu borang. Saya juga tidak terkecuali. Bila dikenang-kenang memang terasa lucu. Mana tidaknya, ada yang nak jadi peguam lah, ada juga yang nak jadi doktor. Bermacam-macam cita-cita yang di tulis oleh cikgu dalam borang tersebut. Maklumlah, masa cikgu bertanya tentang cita-cita, apa yang kita tahu hanyalah jenis pekerjaan tanpa mengetahui hakikat sebenar pekerjaan itu.

Namun saya merasa seronok, kerana salah satu cita-cita saya telah tercapai iaitu menjadi seorang jururawat. Apa yang menjadi pegangan saya pada masa itu ialah, jika saya tidak mampu menjadi seorang doktor, saya mesti menjadi seorang jururawat. Tapi ada juga masanya, bila tengok cikgu, rasa macam nak jadi cikgu. Bila tengok drama orang kerja di pejabat, rasa macam nak kerja di pejabat pula. Itulah zaman kanak-kanak, masih belum faham maksud cita-cita yang sebenar.

Setelah tiga tahun menghabiskan pengajian Diploma Kejururawatan di Kolej Kejururawatan Pantai, saya pun menjadi jururawat pada usia seawal 20 tahun. Maklumlah, saya mula belajar sebaik tamat SPM. Masa tu terasa beruntung sangat, sebab kawan-kawan lain yang belajar di universiti masih lagi belum habis belajar. Sedangkan saya dah boleh belanja duit gaji sendiri.

Masa tu, gaji saya hanya rm950 sahaja, tetapi terasa mewah sangat dan puas dengan hasil titik peluh sendiri. Dapat juga bagi mak sedikit duit belanja. Memang rasa seronok sangat. Itu baru gaji pokok, belum lagi termasuk elaun kerja malam dan elaun lain. Kalau kerja keras boleh dapat sampai rm1500. Bila shift kerja petang, saya akan bekerja di sebuah klinik, empat jam rm50. Memang waktu tu jiwa kuat, kerja pun kadang-kadang buat "double shif ". Kerja shif pagi dan petang sekali. Kadang-kadang tu siap buat "private nursing" lagi. Memang waktu tu saya kerja keras untuk cari duit lebih.

Bukan setakat itu sahaja, selepas setahun setengah bekerja saya sambung pengajian dalam peringkat ijazah. Masa itu, Kolej Kejururawatan Pantai ada buat kerjasama dengan Universiti Curtin untuk Ijazah Kejururawatan. Malangnya, saya tak sempat habiskan ijazah pada waktu itu. Kengkangan masa dan wang ringgit menjadi faktor saya semakin tertekan dan tidak mampu untuk meneruskan pengajian. Namun, saya tebus kekecewaan itu dengan menyambung penyajian dalam Pos Basik Onkologi di Hospital Besar Kuala Lumpur selama 6 bulan.

Selesai pengajian pos basik, saya telah di tempatkan di bahagian Penjagaan Pesakit Kanser. Waktu ni seronok sangat kerana di unit "Chemo Day Care" saya tidak perlu kerja shif lagi. Kerja waktu pejabat. Memang seronok sangat. Namun pengalaman menjaga pesakit-pesakit kanser telah banyak mengajar saya tentang kehidupan. Saya banyak belajar erti sabar dan cuba memahami jiwa pesakit kanser. Pada waktu inilah saya telah mengenali beberapa pesakit kanser yang telah mengajar saya untuk tidak berputus asa dalam kehidupan. Ada salah seorang pesakit yang menghabiskan pengajian peringkat Master semasa dalam rawatan kimoterapi. 

Kenangan bekerja sebagai jururawat selama 10 tahun tidak mungkin saya lupakan. Ia benar-benar mengajar saya tentang kesabaran dan tabah dalam kehidupan. Pengalaman ini telah banyak mengubah sikap dan pemikiran saya. Sungguh ia adalah kenangan yang paling manis dan indah untuk dikenang. Nanti saya akan share lagi di entri akan datang ye.

LATIH DIRI MENJADI LEBIH TENANG DAN POSITIF

Gambar dari Google
Assalamualaikum semua.

Hari ini saya suka sangat nak berkongsi bagaimana saya melatih diri saya supaya sentiasa tenang dan positif ketika menghadapi cabaran.

Saya adalah seorang yang sentiasa suka belajar, sentiasa cari ilmu dan sangat minat membaca. Namun semasa di usia remaja dan sekitar usia 20 an, saya seorang yang tidak sabar dan tidak boleh tahan dengan perkara-perkara yang remeh. Akibatnya saya sering marah-marah dan tidak boleh menerima kelemahan orang lain. Saya juga tidak pandai mengawal diri, terutamanya tingkah laku dan emosi saya. Sehinggakan orang pasti tahu jika saya marah atau tidak sukakan sesuatu.

Namun, bila usia semakin meningkat, saya mula menilai diri saya sendiri. Saya sering tertanya-tanya tentang sikap dan cara pemikiran saya. Saya mula muhasabah dan berfikir dengan mendalam bagaimana saya perlu memperbaiki diri saya. Saya tidak mahu menyalahkan orang lain atau persekitaran saya. Saya mula mencari bahan-bahan bacaan motivasi. Saya mencari pelbagai produk spa untuk saya guna di rumah. Saya juga mula mengasingkan sedikit wang dari gaji saya sebagai ganjaran untuk diri saya sendiri. Saya mula sedikit-demi sedikit membeli barang-barang untuk keselesaan saya, contohnya seperti bantal kekabu yang sangat selesa untuk saya tidur.

Saya juga mula menabung duit syiling emas 50 sen dan 20 sen. Saya juga menabung sedikit demi sedikit duit simpanan yang mana saya gunakan setiap bulan Desember untuk membeli barang keperluan saya semasa jualan murah. Saya juga belajar beli sarapan dan beri pada pada pekerja 'housekeeping' di pejabat saya.

Apa yang saya lakukan adalah proses "pembelajaran" untuk diri saya sendiri. Ia tidaklah semudah yang disangka. Adakalanya saya masih juga melakukan kesilapan. Namun saya telah menanam benih positif di dalam pemikiran saya dan sentiasa berusaha untuk berbuat kebaikan. Selain itu saya belajar bersyukur dengan apa yang saya ada dan menilai semula perbuatan dan tingkah laku saya. Saya tahu, saya tidak mampu untuk menjadi sempurna. Apa yang penting saya akan sentisa berusaha untuk lakukan yang terbaik.

Di sini saya ingin kongsikan beberapa tip untuk melatih diri menjadi lebih tenang dan positif. Perlu diingat latih diri ini perlu dilakukan dengan berterusan. Jangan berputus asa untuk jadi lebih baik.

Tip 1. Untuk sentiasa berfikiran positif dan megekalkan momentum positif pada setiap masa bukanlah suatu perkara yang mudah. Saya memerlukan medium atau sesuatu yang boleh membantu saya untuk kekal positif setiap masa. Saya berfikir-fikir apakah ada alat untuk mengekalkan momentum positif saya setiap hari? Maka saya mencari-cari sesuatu yang dapat membantu saya dan pastinya "alat" itu adalah Mandian Aromatherapi 7 Aura Bunga. Pada mulanya saya hanya suka dengan bauannya yang harum, lembut dan menenangkan. Setiap hari saya akan mandi dengan mandian 7 Aura Bunga. Saya juga akan niatkan perkara yang baik-baik semasa menjirus air mandian ke tubuh saya. Alhamdulillah saya rasa lebih tenang dan keadaan yang tenang ini telah membantu saya untuk berfikir dengan lebih rasional lagi.

Tip 2. Seperti mana yang saya kongsikan pada tip pertama, saya tidak mungkin jadi sempurna. Ada juga masa di mana saya sering membuat kesilapan. Adakalanya saya sendiri tidak mampu menahan kesabaran diri saya. Banyak kali juga saya gagal dalam meneruskan niat saya untuk kekal tenang dan positif setiap masa. Perlu di ingat, bahawa kehidupan di dunia ini juga satu ujian untuk kita. Apa yang penting, maafkan diri kita sendiri dan teruskan azam untuk berbuat baik. Yang penting jangan putus asa. Sebelum tidur, saya akan merenung kembali dan mula muhasabah tentang diri saya. Kadangkala, saya sendiri berasa sedih dengan kesilapan saya sendiri.Namun, saya akan niatkan dan tanamkan dalam diri saya untuk terus berusaha memperbaiki kelemahan saya selama ini. Maafkan diri sendiri dan orang lain juga, itu lebih penting.

Tip 3. Ini adalah tip yang paling penting. Jangan lupa berdoa kepada Allah setiap hari, setiap masa. Apabila kita selalu ingat dan sentiasa berdoa kepada Allah, kita akan sentiasa berusaha untuk berbuat kebaikan. Dengan mengingati Allah, hati kita juga semakin tenang. Perbanyakkan aktiviti yang boleh mendekatkan diri kita kepada Allah seperti membaca Al-Quran, bersedekah dan sentiasa bersyukur. Insya Allah, lama-kelamaan hati kita akan lebih tenang dan positif.

Gambar dari Google

Cukuplah 3 tip ini dahulu saya kongsikan. Semoga ia menjadi panduan dan pencetus semangat kita semua untuk sentiasa memperbaiki diri kita dan lakukan yang terbaik. Sesungguhnya, wang dan kekayaan yang banyak, belum tentu menjamin hati untuk sentiasa tenang dan positif. Jangan tertipu dengan ketenangan sementara, ia tidak akan berkekalan. Saya sentiasa mendoakan agar kita semua sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT. Amin.