Sunday 14 February 2016

SAYA SEORANG JURURAWAT

Gambar dari Google

Assalamualaikum semua. Bertemu lagi kita di entri kali ini.

Dulu semasa di sekolah rendah, guru kelas saya akan bertanya tiga cita-cita kepada murid-murid untuk di isi dalam satu borang. Saya juga tidak terkecuali. Bila dikenang-kenang memang terasa lucu. Mana tidaknya, ada yang nak jadi peguam lah, ada juga yang nak jadi doktor. Bermacam-macam cita-cita yang di tulis oleh cikgu dalam borang tersebut. Maklumlah, masa cikgu bertanya tentang cita-cita, apa yang kita tahu hanyalah jenis pekerjaan tanpa mengetahui hakikat sebenar pekerjaan itu.

Namun saya merasa seronok, kerana salah satu cita-cita saya telah tercapai iaitu menjadi seorang jururawat. Apa yang menjadi pegangan saya pada masa itu ialah, jika saya tidak mampu menjadi seorang doktor, saya mesti menjadi seorang jururawat. Tapi ada juga masanya, bila tengok cikgu, rasa macam nak jadi cikgu. Bila tengok drama orang kerja di pejabat, rasa macam nak kerja di pejabat pula. Itulah zaman kanak-kanak, masih belum faham maksud cita-cita yang sebenar.

Setelah tiga tahun menghabiskan pengajian Diploma Kejururawatan di Kolej Kejururawatan Pantai, saya pun menjadi jururawat pada usia seawal 20 tahun. Maklumlah, saya mula belajar sebaik tamat SPM. Masa tu terasa beruntung sangat, sebab kawan-kawan lain yang belajar di universiti masih lagi belum habis belajar. Sedangkan saya dah boleh belanja duit gaji sendiri.

Masa tu, gaji saya hanya rm950 sahaja, tetapi terasa mewah sangat dan puas dengan hasil titik peluh sendiri. Dapat juga bagi mak sedikit duit belanja. Memang rasa seronok sangat. Itu baru gaji pokok, belum lagi termasuk elaun kerja malam dan elaun lain. Kalau kerja keras boleh dapat sampai rm1500. Bila shift kerja petang, saya akan bekerja di sebuah klinik, empat jam rm50. Memang waktu tu jiwa kuat, kerja pun kadang-kadang buat "double shif ". Kerja shif pagi dan petang sekali. Kadang-kadang tu siap buat "private nursing" lagi. Memang waktu tu saya kerja keras untuk cari duit lebih.

Bukan setakat itu sahaja, selepas setahun setengah bekerja saya sambung pengajian dalam peringkat ijazah. Masa itu, Kolej Kejururawatan Pantai ada buat kerjasama dengan Universiti Curtin untuk Ijazah Kejururawatan. Malangnya, saya tak sempat habiskan ijazah pada waktu itu. Kengkangan masa dan wang ringgit menjadi faktor saya semakin tertekan dan tidak mampu untuk meneruskan pengajian. Namun, saya tebus kekecewaan itu dengan menyambung penyajian dalam Pos Basik Onkologi di Hospital Besar Kuala Lumpur selama 6 bulan.

Selesai pengajian pos basik, saya telah di tempatkan di bahagian Penjagaan Pesakit Kanser. Waktu ni seronok sangat kerana di unit "Chemo Day Care" saya tidak perlu kerja shif lagi. Kerja waktu pejabat. Memang seronok sangat. Namun pengalaman menjaga pesakit-pesakit kanser telah banyak mengajar saya tentang kehidupan. Saya banyak belajar erti sabar dan cuba memahami jiwa pesakit kanser. Pada waktu inilah saya telah mengenali beberapa pesakit kanser yang telah mengajar saya untuk tidak berputus asa dalam kehidupan. Ada salah seorang pesakit yang menghabiskan pengajian peringkat Master semasa dalam rawatan kimoterapi. 

Kenangan bekerja sebagai jururawat selama 10 tahun tidak mungkin saya lupakan. Ia benar-benar mengajar saya tentang kesabaran dan tabah dalam kehidupan. Pengalaman ini telah banyak mengubah sikap dan pemikiran saya. Sungguh ia adalah kenangan yang paling manis dan indah untuk dikenang. Nanti saya akan share lagi di entri akan datang ye.

1 comment: